Friday, February 12, 2016

Baca jangan tak baca :)

Assallamualaikum 

Salam Jumaat.

Hari nie aku ada membaca satu artikel dari blog Genta Rasa yang bertajuk "Bahagia itu satu jalan bukan tujuan". Kat bawah nie aku share untuk bacaan kemudian hari :)


Pagi itu seorang muda bertemu saya. Wajahnya kacak, perwatakannya amat menyenangkan. Telah agak lama saya mengenalinya. Dia seorang yang petah berceramah. Kemampuannya membaca al-Quran juga baik sekali. “Ustaz, saya ingin belajar daripada ustaz bagaimana membina kejayaan dalam hidup,” katanya sebaik sahaja memberi salam dan berjabat tangan. Saya tersenyum. “Mengapa kepada saya soalan ini ustaz ajukan?” balas saya kehairanan. Sepanjang hidup saya inilah kali pertama saya diajukan soalan yang sedemikian. “Sebab saya lihat ustaz berjaya.” Saya ketawa kecil. Senyum dan menepuk bahu ustaz muda di sebelah saya itu. Saya anggap itu doa buat saya.
Bahagia bukan pada Lahiriah

“Jika diukur pada kejayaan yang dinyatakan dalam surah al-Mu’minun, saya masih belum berjaya. Saya masih berusaha untuk berjaya. Solat masih belum khusyuk dan belum terjaga dengan sempurna. Masih banyak amanah yang belum ditunaikan.” Kali ini dia pula senyum mendengar jawapan saya. “Yang saya maksudkan ialah kejayaan ukuran lahiriah ustaz. Ukuran orang sekarang; memiliki profesion yang baik, pendapatan yang lumayan, nama yang popular, selebriti lagi,” katanya menjelaskan maksud pertanyaannya sejak awal perbualan kami. Tanpa diminta beliau terus bercerita tentang kawan-kawan seangkatan dalam kalangan para ustaz muda. Menurutnya, ada antara sahabat-sahabatnya yang berjaya memiliki profesion yang baik, berniaga dengan pendapatan lumayan dan ada juga menjadi selebriti. Lalu semua itu menimbulkan tanda tanya dalam dirinya, apakah dia juga perlu mempunyai sasaran yang begitu? Apakah itu jalan yang akan membawa kepada kejayaan? “Oh, kalau begitulah maksud pertanyaan ustaz, tidak dapatlah saya memberi jawapan apalagi panduan. Saya berada di jalur yang berbeza,” jawab saya. “Jalur yang berbeza? Bagaimana, ustaz?” asaknya lagi.
Demi Tanggungjawab dan Keperluan 

“Saya tidak punya sasaran yang khusus seperti itu. Saya hanya menjalani hidup sekadar mahu bertanggungjawab dan mengikut keperluan yang mendatang,” jawab saya. “Berilah saya panduan.”
“Saya tidak ada panduan. Mungkin sekadar perkongsian, bolehlah.” “Itu pun sudah memadai,” ujarnya.
“Saya yakin rezeki Allah akan kurniakan berdasar keinginan kita untuk bertanggungjawab,” akhirnya saya bersuara. Dia diam, mungkin memikirkan kata-kata saya. Saya menyambung, “begitu juga karier saya. Pada saya semua itu berkembang mengikut sejauh mana kita ingin bertanggungjawab kepada keluarga, organisasi atau masyarakat.” “Maksud ustaz, ustaz tidak punya sasaran khusus?” “Maksud sasaran itu, bagaimana?” tanya saya kembali minta penjelasan. Saya masih belum faham apa yang dimaksudkannya dengan sasaran.
“Misalnya bila sasaran ustaz nak berkahwin dahulu? Bila pula hendak membeli kereta, rumah dan mengerjakan haji?” Wah, itu rupanya yang dimaksudkan dengan sasaran. Kata-katanya mengingatkan kembali kepada kursus yang pernah saya lalui dahulu. Satu program yang memperincikan bagaimana menetapkan sasaran, jangka masa dan cara mencapainya dalam pelbagai bidang kehidupan. “Kalau kita sudah merangka dan menetapkan sasaran yang jelas, tepat dan berjangka masa seperti yang selalu diajar oleh pakar-pakar motivasi, itu memang terbaik. Ditambah pula ada pelan tindak jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang, itu lebih proaktif. Semua itu tidak salah, malah sangat baik. Tetapi ditakdirkan hidup saya penuh “tribulasi” dan macam-macam insiden yang tidak dipinta dan dijangka telah berlaku. Habis semua perancangan yang saya buat tunggang langgang dibuatnya.” Tanpa saya ceritakan lebih lanjut, dia mengangguk. Dia kenal saya sejak lama.
“Habis ustaz menjalani hidup hanya berdasarkan rasa ingin bertanggungjawab?”
“Ya,” jawab saya. Pasti dan pendek. “Apabila saya mula bernikah saya rasakan perlu rumah sewa untuk kami suami isteri, jadi saya cari tambahan rezeki untuk membayar sewa rumah. Setelah anak demi anak dilahirkan, saya perlukan kereta, jadi saya berusaha lebih gigih untuk dapatkan kereta. Macam-macam yang saya buat untuk menambah pendapatan. Akhirnya dapat juga saya membeli kereta. Bertahun-tahun kemudian, rumah sewa jadi semakin sempit. Saya perlu mempunyai rumah sendiri, lalu saya pun mula mengumpul wang, berjimat dan berusaha menambah pendapatan lagi. Akhirnya, saya dapat memiliki sebuah rumah. Begitulah rentetan hidup saya lebih kurang.”
Hidup suatu Perkongsian bukan Persaingan

“Lambat atau cepat perjalanan ustaz tu?” “Entahlah. Saya tidak membandingkannya dengan orang lain. Bagi saya biasa-biasa sahaja. Ada kalanya terasa laju, ada kala perlahan. Saya cuba mengawalnya. Ada kalanya saya berjaya, alhamdulillah. Ada kalanya gagal, saya pasrah sahaja.” Saya masih ingat lagi pesanan seorang ulama yang sangat saya hormati suatu ketika dulu. Katanya, “Dalam hidup amalkan doa ini, ‘Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri. Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah untukku urusanku semuanya dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.’ Amalkan doa ini, insya-Allah hidupmu akan terpandu.” “Mengapa tidak cuba bandingkan dengan pencapaian orang lain?” “Saya tidak melihat hidup ini sebagai satu pertandingan tetapi lebih kepada satu perkongsian.” “Biarlah jika ada yang memburu di hadapan, saya akan mengutip apa yang tertinggal di belakang,” kata saya lagi. “Ustaz gembira hanya dengan mendapat sisa?” Saya senyum. Ustaz muda ini cuba menguji saya agaknya. Apa yang ditanyanya, saya yakin telah sedia dimakluminya. “Dalam hidup, yang menjadikan kita bahagia bukan memburu apa yang masih tiada tetapi bersyukur dengan apa yang telah kita ada. Ramai yang tidak bahagia, walaupun telah banyak memiliki kerana terlalu sibuk memburu apa yang belum dimiliki!” kata saya, melayan pertanyaannya. “Jadi, ustaz masih tidak percaya yang hidup ini satu pertandingan, satu persaingan?” “Mana mungkin wujud pertandingan kerana jalur bahagia kita berbeza.”
“Jalur bahagia yang berbeza?” Saya menepuk bahunya sekali lagi lalu saya mara lebih dekat kepada dirinya. Lalu saya sampaikan satu tamsilan. “Ingat lorong-lorong ketika berlumba lari sewaktu di sekolah dahulu? Setiap pelari ada lorongnya masih-masing. Begitulah juga dalam kehidupan, setiap kita ada lorongnya masing-masing. Maka berlarilah di lorong kita tanpa memikirkan lorong orang lain.” “Tetapi masih berlumba kan ustaz? Cuma berlari di lorong masing-masing.” “Ya, masih bertanding. Masih berlumba! Tetapi berlumba untuk melakukan kebaikan dan kebajikan. Bukan bertanding merebut kebendaan dan kebanggaan.”
Jalur Bahagia Kita Berbeza

Sebelum sempat dia memberi respons, saya berkata lagi, “atau umpama tumbuhan yang berlainan spesies. Masing-masing tumbuh mengikut kadar yang berbeza. Misalnya, jangan dibandingkan pokok Mangga dengan pokok buluh cina (Chinese Bamboo)….” Dia merenung muka saya. Saya menyambung, “dalam jangka masa lima tahun selepas ditanam, pokok mangga akan tumbuh, berbatang, berdahan dan mungkin sudah boleh berbuah. Tetapi dalam jangka masa yang sama pokok buluh cina masih tidak punya apa-apa perkembangan. Seolah-olah tidak membesar. Tetapi pada tahun ke-5 pokok buluh cina akan  mula tumbuh dengan kadar yang sangat cepat sehingga mampu menjangkau ketinggian 90 kaki!”

“Maksud ustaz, kehidupan kita akan berkembang dan meningkat dalam kadar yang berbeza dengan orang lain? Dan oleh sebab itu sikap membandingkan kecapaian kita dengan orang lain adalah tidak tepat.”
“Begitulah yang saya rasa. Mungkin prinsip itu hanya sesuai untuk diri saya. Tetapi mungkin berbeza buat orang lain.” Saya masih ingat beberapa tahun yang lalu seorang sahabat rapat meluahkan rasa hatinya. Dia rasa hidupnya sangat jauh ketinggalan berbanding bekas rakan-rakan satu pengajian di universiti dulu.
Dengan nada hampir mengeluh sahabat saya itu berkata, “mereka sering melancong ke luar negara. Menikmati pemandangan yang indah, makanan yang lazat-lazat, ziarah tempat-tempat bersejarah, tetapi aku masih di sini. Tidak ke mana-mana.”

“Sahabat,” pujuk saya, “jalur bahagia kita berbeza. Mungkin mereka bahagia dengan melancong ke luar negara dan makan makanan yang beraneka rupa. Tetapi bahagia kita mungkin cukup di sini, di rumah atau di negara sendiri. Mungkin kita cukup berselera hanya dengan sambal tumis bilis, sambal belacan dan ulam ala kadar. Sahabat, yang penting hati yang syukur. Jiwa yang reda. Walau di mana dan pada keadaan mana pun kita berada tanpa kesyukuran dan keredaan, hidup kita tidak akan bahagia.”
Jalan Bahagia

Saya mengingatkan diri sendiri dan dirinya bahawa bahagia itu tidak Allah letakkan pada harta, rupa, nama dan kuasa. Justeru tidak semua manusia boleh mencapainya. Hanya sedikit dalam kalangan manusia yang hartawan, rupawan, bangsawan dan negarawan.

Yang lebih ramai ialah yang miskin, marhaen, hodoh, dan tidak berpangkat. Allah Maha Adil, tidak meletakkan kebahagiaan pada harta, kuasa dan lain-lain. Tetapi meletakkannya pada hati yang tenang. Hati yang boleh dimiliki oleh yang kaya dan miskin, yang bangsawan dan marhaen, yang hodoh dan yang cantik.”
“Apa nasihat ustaz?” tanyanya lagi.

“Jangan membandingkan diri kita dengan orang lain. Nanti kita akan jadi lebih tidak bahagia. Setiap orang ada jalur bahagianya tersendiri. Bahagialah dengan diri kita dan apa-apa yang kita ada. Jangan hasad dengki, jangan rasa hina diri, jangan benci kepada orang yang kelihatan lebih bahagia daripada kita. Allah Maha Adil. Yakinlah kita ada jalur bahagia kita sendiri dan kita layak menikmatinya.” 

“Bagaimana ustaz membina karier?” kilasnya tiba-tiba.
“Karier saya terbina atas keinginan saya untuk berdakwah,” jawab saya.
“Ustaz tidak ada cita-cita untuk jadi pendakwah atau ustaz selebriti?” usiknya.
Saya menggeleng-gelengkan kepala. Sebagai seorang yang introvert, saya lebih gemar bersendirian berbanding berada di tengah-tengah ramai. Namun, sebagai Muslim kita diperintahkan untuk berdakwah walau apa pun sifat semula jadi kita. Justeru, saya gagahi juga bertemu manusia. Pada mulanya untuk belajar, kemudian sedikit demi sedikit mula menyampaikan.

“Ustaz memang bercita-cita untuk jadi penulis sejak dulu?” tanyanya.
“Tidak. Saya bermula dengan menulis untuk menyampaikan mesej dakwah dalam usaha memperbaiki diri dan mengingatkan orang lain. Mula-mula hanya melalui surat biasa. Kemudian jadi risalah. Lama-kelamaan jadi sebuah artikel. Dan beberapa tahun kemudian muncul menjadi sebuah buku, sebuah lagi, sebuah lagi dan begitulah sehingga kini. Saya tidak ada sasaran untuk menulis berapa banyak buku, tetapi saya akan menulis apabila ada keperluan dan kemampuan untuk menyampaikan.” “Menulis untuk melaksanakan tanggungjawab?” Saya diam. Daripada bahasa tubuhnya, saya yakin dia faham.
“Lalu ustaz bagaimana? Ingin jadi ustaz selebriti, ingin jadi PU, IM dan seumpamanya?” Giliran saya mula menyoalnya.

Dia merenung jauh. Menggeleng tidak. Mengangguk pun tidak.
“Insya-Allah, semua semakin jelas buat saya.”
“Jelas bagaimana?”
“Saya juga ada jalur bahagia saya sendiri,” jawabnya dengan pasti.
Saya senyum lalu berkata, “ustaz sudah bahagia sekarang!”
“Mengapa?”
“Kerana ustaz telah menemui jalannya.”
“Mengapa?”
“…kerana tidak ada jalan menuju bahagia, sebab bahagia itu sendiri ialah jalannya!” jawab saya tersenyum.
“Ustaz bahagia kerana telah menemui jalannya!”

 Hanya sekadar gambar hiasan
Post a Comment