Thursday, October 18, 2012

Wanita Seperti Aku

Dasar manusia, hanya memandang keindahan dan kebaikan. Siapa manusia yang tidak mahu menjamah mata dengan benda-benda yang cantik. Aku juga begitu. Aku juga manusia yang mahu memandang kecantikan.

"Dia cantik. Aku rasa cukup bertuah kalau dapat jadi pendamping hidupnya." Kata-kata inilah yang memakan hatiku sedikit demi sedikit. Kata ini juga yang seperti penyakit bersarang dalam hati menunggu kapan badan ini akan mengalah longlai dan terbujur kaku.

"Saya lepaskan awak sebab saya tahu dia lebih baik berbanding saya. Malah lebih baik." Aku cuba mengungkap ayat ini satu persatu di dalam hatiku. Merangka ayat apa yang lebih baik berbanding ayat tadi yang harus ku hamburkan bagi menjaga hati kedua belah pihak iaitu aku dan juga dia. Aku cuba menghafal dan melatih diri dengan ayat ini supaya tiada kesalahfahaman yang akan timbul.

Perkahwinan yang hampir mencecah tahun kedua itu punah dek pesona Am kepada wanita yang tiada bandinganya dengan aku. Bukan seperti langit dan bumi bukan juga jauh panggang dari api, tiada tandingan yang mampu diungkapkan. Dia memang wanita yang lebih baik daripada aku. Hampir sempurna sebagai seorang umat Muhammad.
*****
"Aku dah agak dah kau kahwin dulu, aku memang dah agak. Tahniah!! Tapi tak dapat nak pergi lah. Sibuk sangat. Aku takkan nak tinggalkan kem ukhwah tu? Aku pengurus program. Nanti kalau tinggal apa pulak kata akhi dengan ukhti lain."

Aku cukup gembira mendengar ucapan tahniah daripadanya. Sungguh-sungguh teruja. Ucapan yang diberikan lebih setahun lalu bergema di cuping telinga. Tetapi, airmata aku langsung tidak tumpah. Sungguh, aku cuba sedaya upaya untuk menumpahkan airmata tanda kesedihan aku melepaskan Am sebagai pimpinanku selama ini. Tetapi, setitis airmata wanita ini tidak mengalir lesu langsung. Bukan aku cukup tegar dan tabah mendengar semua ini. Tetapi, aku lebih gembira kerana hatinya beralih kepada wanita yang lebih sempurna berbanding aku. Itu sahaja sudah membuat hatiku senang bukan kepalang.

Tidur yang amat panjang ku kira malam itu. Lena entah ke mana. Mimpi bersimpang siur. Akhirnya aku bangun mengerjakan tahajud. Lama aku bertafakur mengadu pada Ilahi tentang hati nan walang. Aku tidak terus tidur. Aku masih berfikir bagaimana aku mahu mengucapkan tahniah kepada Am dengan hati yang paling gembira. Lelapku lebih lena di sofa ruang tamu berbanding katil empuk. Setakat ini, kami sudah pun berpisah ranjang. Mungkin langkah seterusnya adalah berpisah hidup. Itu pilihan terbaik kukira.
"Ini adalah keputusan terbaik." Aku nekad!

Terlihat senyum paling indah dilemparkan oleh Am. Itu mungkin yang pertama juga terakhir aku dapat melihatnya. Aku tersenyum menandakan aku juga gembira sekiranya imamku dapat menjadi pemimpin yang baik bagi seorang wanita yang menjadi salah seorang utusan Allah.

Ya Allah, hatiku yang walang kehilangan Am sebagai tongkat hidupku selama ini kalah dengan akal aku yang menganggap ini bahagia yang kucari. Bukan maksudku Am melepaskan aku sebagai makmumnya adalah kebahagiaan buatku, tetapi bahagia kerana Am bakal mendampingi wanita sehebat temanku. Semuanya berjalan lancar hari ini. Persandingan mereka sesuai dengan syarak Islam. Zulaikha, teman rapatku sewaktu sama-sama menimba ilmu kini telah sah sebagai suri hidup bekas suamiku.

"Tahniah. Aku sentiasa doakan jodoh ini berpanjangan. InsyaAllah." Aku mendoakan yang terbaik untuk mereka. Zulaikha bahkan tidak mengetahui bahawa Am adalah bekas suamiku. Aku dan Am sepakat untuk menyimpannya sebagai rahsia. Aku membenarkan Am menyunting Zulaikha sebagai suri hidupnya andainya Zulaikha tidak mengetahui tentang aku. Sebagai teman paling rapat, Zulaikha tidak dapat hadir mengimarahkan majlis kami lebih kurang dua tahun lepas. Sehingga kini, dia masih bertanyakan status ku.
"Alhamdulillah, aku sendiri sekarang." Riaknya terkejut menggeletek hatiku.

Sejak perkahwinan aku bersama Am, aku sudah jarang menghubunginya. Takut mengganggu. Dia adalah muslimah berkerjaya penuh dengan cita-cita. Pernah terfikir mahu mengadu dengan wanita ini sewaktu masalah merundung perkahwinan. Ingin sekali aku berkongsi kisah sedih ini kepada seseorang yang memahamiku.

Tetapi, aku masih waras. Kukira membuka pekung di dada bagai mengacu pistol ke muka. Biar berdarah kerana hunusan pedang musuh berperang bukan kerana terhunus diri sendiri. Itu yang menjadi peganganku. Aku bahkan tidak pernah bercerita kepada orang lain tentang sikap Am yang tidak pernah mengacuhkan aku. Malah tidak pernah menyentuhku.

"Bila? Kenapa? Ya Allah, selama ni aku tinggalkan sahabat aku kesusahan seorang diri. Tabahlah wahai wanita. Jangan pernah menanyakan tentang mengapa semua ini terjadi. Allah menyediakan kejutan buatmu." Zulaikha mengusap belakangku persis seorang ibu memujuk anaknya. Sekali lagi aku tersenyum, ciri- ciri pada Zulaikha menjadikan dia seorang wanita hebat yang dapat menakluki hati suamiku, bekas suami maksudku. Aku pasti dia bakal menjadi seorang ibu yang baik bagi keturunan mereka.

"Aku merelakan. Dia beralih hati pada sesuatu yang lebih baik. Mengapa menyimpan kaca andai mampu membeli emas?" Akhirnya aku kalah dalam tangan wanita sehebat Zulaikha.

*****

Lebih sebulan aku mencari jati diri sendiri. Bertanyakan Ilahi andai masih ada ruang kosong di tempat-tempat orang yang dikasihinya yang mampu diisi olehku. Aku mendapat berita gembira daripada mempelai baru. Zulaikha kini berbadan dua. Berbadan tiga kukira. Tetiba ingatan ku kembali semasa aku masih bergelar isteri kepada Am. Emak dan abah pernah menanyakan tentang benih Am dalam rahimku. Aku sekadar menggeleng dan tersenyum.
"Belum rezeki lagi mak."

"Mama Am kata kamu mandul, itu yang sanggup lepaskan Am dengan rela hati. Betul ke?" Aku kembali tersenyum. Lucu rasanya bekas ibu mertuaku menjaga hal dikatilku sedangkan dia paling jarang bertandang ke rumah. Sibuk sana- sini dengan badan bukan kerajaannya. Bukan niatku berkata begitu tetapi itulah manusia. Penuh dengan syak wasangka. Penuh dengan pandangan negatif berbanding positif.
"Kamu jangan asyik senyum aje. Malu emak sedara-mara kita semua kata kamu mandul." Aku kembali tersenyum. Sudah bahagiakah mereka menyebarkan fitnah? Aku menggeleng lagi. Sungguh tiada yang benar diriku di mata mereka. Perlukah aku menjerit mangatakan bahawa ini semua fitnah? Perlukah aku merintih bahawa ini semua bukan sepenuhnya salahku?

Tidak perlu kukira. Perbuatan yang tidak akan mengubah apa-apa. Cukuplah mereka sahaja yang bertindak membunuh saudara sendiri. Jangan aku termasuk dalam golongan mereka. Aku beristighfar. Mencari kekuatan di dalam diri apabila darah daging aku sendiri, lebih tepatnya orang yang sanggup membawa aku selama sembilan bulan di dalam perut kini tidak mempercayai aku lagi.

Aku merintih di kamar. Kali ini aku benar-benar mengalirkan airmata berhargaku. Sungguh, ini dugaan kuat. Mungkin emak lupa bahawa yang menginginkan perkawinan ku dulu bukan daripada pihak aku dan Am. Tetapi daripada pihak ibu mertuaku serta emak sendiri yang beriya-iya menjodohkan kami. Am sengaja menerima perjodohan ini kerana ingin menyakitkan hati bekas teman wanitanya yang meninggalkan dia demi lelaki lain.

Aku cukup pasti Am menerima perjodohan ini bukannya kerana dia tulus mencintai ku tetapi hanya melempiaskan kemarahannya kepada wanita itu. Cukup setahun umur pernikahan kami, Am mula bercakap denganku seperti pasangan yang biasa. Kali ini, dia juga menempatkan aku sebagai pelempias nafsunya terhadap Zulaikha. Aku bagai menangguk di air yang keruh, melukut di tepi gantang.

*****

Tangisan ku tidak dapat ku tahan. Aku membiarkan air mata terus menemani ku malam itu. Di saat diri bersendiri, ingatanku pada Am adakalanya menjadi tamu ku. Walau ku tepis acap kali itu juga la ingatan ku pada Am tegar di ingatanku. Ingatanku kembali sewaktu "Program Kekasih" setahun yang lalu.
"Masya Allah." Aku terus mengalih pandangan ke arah pandangan Am. Cantik. Lelaki. Matanya hanya tertuju pada kecantikan. Begitu juga Am. Dia lelaki normal yang mempunyai 99 peratus nafsu terhadap wanita. Tetapi bukan wanita seperti aku. Apalah ada padaku?

Aku tersenyum. Saat itu aku dan juga Am sama-sama menghadiri majlis yang diadakan oleh masjid berdekatan rumah kami.

'Program Kekasih' di bawah kelolaan pengarah program Ustazah Zulaikha binti Haji Abdul Rasyid. Aku tergamam melihat 'banner' yang terpampang di luar perkarangan masjid. Aku mula tersenyum. Aku pasti itu adalah sebait nama sahabatku. Aku mengajak Am sama-sama menghadiri majlis ilmu itu dengan tujuan aku ingin berjumpa Zulaikha dan ingin memperkenalkan suamiku padanya.

"Em, awak yang kendalikan majlis ni ke?" Aku bertanya spontan dengan orang yang sibuk menjamu jemaah majlisnya. Dia mengangguk lalu tersenyum.

"Saya nak jumpa dengan Ustazah Zulaikha boleh?"
"Maaf puan. Ustazah baru sahaja bergerak pulang tadi. Ada program yang perlu dihadiri." Aku mengangguk tanda memahami bukan mudah mahu bertemu orang penting sepertinya.
"Dah lama ke dia balik?" Aku bertanya lagi

"Baru je. Dia sampaikan salam maaf kerana tak sempat berukhwah dengan semua muslimah."
Aku mengangguk lagi tapi masih tertanya-tanya.

"Maaf ye, saya nak tahu dia pakai tudung warna apa tadi? Dia yang mana satu ye?"
Aku sungguh ingin tahu tentang Zulaikha. Ingin sahaja aku beritahu ahlinya itu aku dalam kerinduan yang parah terhadap Zulaikha.

"Dia pakai baju jubah hitam dengan selendang satin kelabu tadi. Dia baru je berjalan keluar dengan seorang lagi ustazah." Aku mengingat kembali kemudian mengangguk lagi.
"Ustazah Zulaikha ni lulusan UIA ke? Umur dia berapa ye?" Aku kembali menyoal. Ahli program itu hanya tersenyum melihat kesungguhanku. Aku memulangkan senyuman kepadanya.
"Nampaknya puan telah menyusur kehidupan Ustazah. Adakah puan salah seorang peminatnya?" Aku sekadar tersenyum mendengar itu. Aku mengangguk lagi.

Rupa-rupanya muslimah yang berjaya menarik perhatian Am tadi benar-benar Zulaikha sahabatku. Sepulangnya dari majlis ilmu tersebut, aku bercerita kepada Am.
"Zulaikha." Am menoleh kearahku semasa dia membuat pusingan U sewaktu perjalanan pulang kerumah.
"Apa?"
"Cantik tu Zulaikha." Am mengerutkan dahinya. Dalam kesamaran malam, terlihat jelas keningnya bercantum tanda dia benar-benar tidak mengerti.
"Awak ingat tak ustazah yang awak nampak tadi tu? Sampai awak lupa tutup mulut?" Am mengangguk. Masakan dia lupa. Aku juga mungkin tidak akan lupa saat itu.
"Dia kawan saya. Namanya Zulaikha. Cantik kan?" Dia mengangguk lalu tersenyum. Senyumannya meleret. Aku juga mengukir senyuman. Kukira dia suka mendengar bahawa Zulaikha adalah temanku, kenalanku.

"Baguslah kau kenal dia." Sekarang giliran aku mengerutkan dahi. Tapi kini ,fahamlah aku mengapa dia tersenyum sampai ke telinga sewaktu aku menyampaikan bahawa Zulaikha memang dari keturunan baik-baik dan masih tidak berkahwin. Semenjak itu, aku dan Am mula berbual. Kebanyakan perbualan kami berdasarkan Zulaikha. Aku sebenarnya masih naïf dan buta untuk melihat betapa dalam Am meminati dan mengagumi Zulaikha. Aku cuma menganggap perubahan Am inilah tanda perkahwinan ini akan selamat dan punca awal perkahwinan ini akan bahagia. Aku silap dan bodoh mempercayai kebaikan Am terhadapku selama ini.

*****

"Aku nak pinang Zulaikha. Aku pernah bertemunya beberapa kali selepas majlis ilmu di masjid. Aku pulangkan semula hak kau sebagai wanita. Kau masih dara. Aku pulangkan engkau sebagaimana aku mengambil engkau. Aku mengambil engkau dengan keadaan engkau masih suci, begitu juga semasa aku memulangkan engkau. Aku tidak berniat memadukan engkau. Jadi, aku memberi engkau hak untuk memilih. Dua pilihan yang amat berbaloi kurasa. Samada bermadu dengan temanmu sendiri ataupun menjadi jandaku."

Sungguh terus berdegup jantungku bagai melayang di udara. Aku menelan juga mee yang hampir ke anak tekak yang belum sampai ke perut pun. Aku cuba menghenyakkan diri ke kerusi. Nyata. Ini nyata. Aku bukan berada terapung di awangan. Makan malam pertama bersama Am menjadi kenangan terindah buatku. Mungkin dia tidak sedar bahawa aku sangat menunggu malam ini. Aku sungguh-sungguh menyiapkan diri untuknya. Mungkin dia tidak tahu bahawa aku berharap perkara yang lebih akan berlaku selepas malam itu.

Benarlah, dia memberi aku 'perkara yang lebih' selepas malam itu. Aku meletakkan garfu dan sudu sambil menghirup air bagi menenangkan hati nan walang. Aku cuba mengukir senyum.

"Dia cantik. Aku rasa cukup bertuah kalau jadi pendamping hidupnya." Aku rasa itulah alasan maha hebat mengapa akhirnya Am mengambil keputusan untuk meminang Zulaikha. Aku mengangguk tanda mengiyakan. Benar. Sungguh dia cantik. Aku pula tidak. Dia kuat pegangan agama. Aku pula tidak. Dia dari keturunan baik-baik. Aku pula tidak. Aku hanya dari keturunan mahren. Dia pandai menjaga maruah. Aku pula tidak. Benar bukan apa yang aku katakan?

Tiada apa yang mampu membandingkan aku dengan dia. Aku tidak punya apa-apa. Sedangkan dia hampir sempurna. Aku tersenyum melihat Am memikirkan dia. Cukuplah, aku cukup bersyukur dapat mengembara hidup bersama Am selama lebih kurang dua tahun. Dia seorang pemimpin keluarga yang baik. Imam yang hebat bagi makmumnya. Oleh kerana Am terlalu baiklah aku sanggup melepaskan dia untuk menjalani kehidupan yang lebih baik bersama muslimah sejati.

*****

Genap setahun umur perkahwinan Zulaikha dan Am, aku berhijrah ke Kaherah. Mencari cinta yang sejati. Menjadi wanita yang tegar. Menjadi wanita yang mampu hidup seperti sebelumya. Hidup tanpa cinta daripada seorang lelaki. Am adalah insan lelaki pertama yang singgah dihatiku secara tidak langsung. Sebelum ini, tidak pernah seorang lelaki pun mahu singgah di hati ini. Kerana aku tidak secantik perempuan lain, kerana aku tidak kuat pegangan agama seperti muslimah lain, kerana aku tidak pandai menjaga maruah diri seperti gadis lain.

Tetapi, mereka semua lupa bahawa aku masih seorang wanita yang dilahirkan lemah tetapi kuat di satu sisi yang tidak mungkin orang lain dapat melihatnya. Hawa memang dijadikan daripada rusuk kiri Adam tetapi Mariam tidak memerlukan lelaki untuk melahirkan Nabi Isa. Sungguh Allah memuliakan wanita di satu sisi paling istimewa. Antara jelas dengan kabur. Aku mengkaji setiap apa yang dirancangkan oleh Allah.

Benar ada hikmah yang kita tidak terduga daripada-Nya. Semakin aku mengkaji tentang perancangan Allah, semakin jatuh cinta aku kepada-Nya. Aku pernah lupa bahawa mencintai insan bernama Am yang menjadi ciptaannya hanyalah sementara. Cinta hakiki yang sedang kukejar sekarang. 

Pengembaraan cinta ku kali ini adalah semata-mata memburu redhaNya. Walau cinta ini memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit tetapi percayalah ia bukan pengorbanan yang sia-sia.

Artikel ini from iluvislam

Post a Comment