Friday, October 19, 2012

Air dicincang takkan putus

Salam


Adik-beradik kita sebenarnya merupakan satu anugerah yang tidak terhingga. Bukan semua orang di atas dunia ini dapat memiliki adik-beradik. Namun, saban hari kita terdengar dan terlihat di dada akhbar kes-kes pergaduhan antara ahli keluarga, malahan ada yang sampai ke tahap memutuskan hubungan silaturrahim antara adik-beradik.
Jelas, semakin hari tindakan manusia bukan lagi didorong oleh syariat dan kasih sayang. Ada kala tindakan kita bertentangan dengan hukum Allah seperti dalam firmanNya yang bermaksud:

"Maka apakah ada kemungkinan jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang yang dilaknati Allah dan ditulikan mereka dan dibutakan penglihatan mereka."
(Surah Muhammad, ayat 22-23)

Usah kita lupa bahawa nikmat memiliki adik-beradik ini tidak lain hanyalah pinjaman sementara daripada Allah SWT untuk seseorang hambanya. 

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah..."
(Surah al-Baqarah, ayat 284)

Adik-beradik juga menjadi tempat bergantung antara satu sama lain setelah ketiadaan orang tua. Selalunya abang-abang dan kakak-kakak atau yang lebih tua akan mengambil alih tugas menjaga adik-adiknya setelah ketiadaan orang tua. Apabila matinya seorang ayah bagi seorang anak perempuan, maka adik-beradik lelakinya akan menggalas tugas sebagai wali. 

Perlu dititikberatkan dalam menjaga hubungan antara adik-beradik ini ialah sifat kasih sayang dan rasa hormat antara satu sama lain. Sebagai contoh, adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakaknya selagi tindak tanduk mereka tidak bertentangan dengan syariat Allah. Bahkan, wajib bagi seorang anak itu menjaga hati abang dan kakaknya dengan tutur kata yang baik dan juga dari segi perbuatannya. Setiap perbuatan yang mungkin menguris hati saudara kita akan menjadi titik permulaan sesuatu perbalahan justeru membawa kepada pepecahan.

Dan antara perkara penting dalam menghargai kurniaan Allah ini kepada kita ialah menjaga adab sesama adik-beradik. Andai kata ada perkara salah dan silap dilakukan oleh adik-beradik kita, maka tegurlah dengan cara yang berhikmah kerana dengan itu pihak yang ditegur akan merasa lebih selesa untuk menerima teguran, bahkan marasakan diri mereka lebih dihargai.

Sentiasalah kita memohon perlindungan daripada Allah daripada ancaman dan rancangan jahat syaitan yang seringkali cuba memecahbelahkan hubungan kekeluargaan yang sukar dibina oleh ibubapa kita. Wujudnya adik-beradik ini bukan sekadar menunjukkan kekuasaan Allah yang memberikan rahmat kepada kita, tetapi ia adalah tanda hasil usaha penat lelah kedua ibu bapa kita yang melahirkan serta bekerja keras untuk membesarkan kita semua. Percayalah, keberkatan yang dikurniakan Allah memalui hubungan silaturrahim akan membawa kepada terbukannya pintu-pintu rezeki. ''Barangsiapa yang ingin dimudahkan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia sentiasa menjaga silaturahim.'' (Hadis Riwayat Muslim)

Memang sukar bagi mereka yang hidup dalam keluarga yang ramai adik-beradik untuk menjaga keharmonian dalam keluarga, namun peranan menjaga hubungan antara adik-beradik ini adalah perlu untuk memastikan hubungan silaturrahim sentiasa berada dalam keadaan kukuh.

Walau apapun yang berlaku, jangan dilupa pepatah yang mengatakan hubungan adik-beradik ini umpama "air yang dicincang, tidak akan putus". Hargailah mereka kerana mereka juga darah daging kita sendiri.

 Acik Alyn sayangkan mereka kerana merekalah yang terbaik dalam hidup ini..Opps kalau dulu Acik Alyn adalah tinggi dan terbalik dah sekarang nie, Acik Alyn lah yang terendah dan 'gem' sikit aje..ha...ha. Rasa nak ambik gambar ala-ala gambar nie la ngan adik2 cam yang orang putih wat tu. Aci x?


Wallahu'alam.

Artikel from iluvislam
Post a Comment