Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Pertubuhan Ikram Malaysia, Faridah Maludin berkata, wanita tidak seharusnya mudah jatuh cinta, percaya atau mengambil jalan mudah menerima saja seseorang itu mengisi kekosongan hati.
Beliau berkata, Islam sudah menyediakan panduan berkahwin iaitu dengan bertunang yang membabitkan urusan kedua-dua keluarga, bagi memberi peluang saling berkenalan.
“Selalunya masalah timbul daripada perkahwinan yang kita namakan sebagai terdesak atau kahwin berisiko kerana wanita tidak berfikir panjang semata-mata ingin bersuami.
“Wanita perlu menetapkan matlamat dalam memilih bakal suami daripada ciri digariskan Islam seperti agama dan keturunannya supaya perkahwinan dibina mampu memberikan ketenangan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Faridah berkata, ada kalangan wanita terlalu mudah mengambil keputusan berkahwin sedangkan mereka tidak pernah berjumpa pun keluarga bakal suami terutama yang mahu bersuamikan lelaki warga asing.
Katanya, ada juga yang berkenalan singkat melalui laman sembang Internet terus membuat keputusan berkahwin apabila lelaki itu datang ke negara ini kononnya menunjukkan keikhlasan sedangkan akhirnya wanita tertipu.
“Perkahwinan seumpama ini selalunya tidak bertahan lama. Oleh itu, wanita perlu melalui fasa seperti ditetapkan Islam iaitu majlis bertunang yang membabitkan keluarga supaya dapat berkenalan dengan lebih lanjut.
Harian Metro semalam melaporkan seorang peniaga wanita tempatan dikenali sebagai Hayati, 47, berkahwin dengan lelaki warga Pakistan, tanpa menyedari suaminya itu mempunyai niat tersembunyi mahu mengikis hartanya dan mempermudahkan diberi taraf pemastautin tetap (PR).
Wanita itu menderita selepas dipaksa menggugurkan kandungan.
Petikan dari sini

0 comments:
Post a Comment